PESERTA menghilangkan dahaga selepas perlumbaan.
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Azizan Hashim & Nor Raidah Awang


Bukit Merah: Status Mohd Fauzan Ahmad Lutfi selaku pelumba kebangsaan nyata sukar digugat apabila meraih gelaran juara kategori Terbuka Lelaki Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) semalam.

Fauzan, 31, dari pasukan SBS Giant-PDRM yang sebelum ini mengungguli beberapa kejohanan HMMTBGP berjaya menamatkan saingan siri pertama musim ini membabitkan jarak 48 kilometer dengan catatan satu jam 30 minit 20 saat, sekali gus menyarung jersi kejohanan.

Menyusul di belakang pelumba Izrimibike Muhammad Khuzairi Abdul Bakar yang hanya ketinggalan satu saat di belakang Fauzan manakala rakan sepasukannya Muaz Abd Rahim ketiga dengan catatan 1’33:45s.

Juara, naib juara dan tempat ketiga bagi setiap kategori masing-masing membawa pulang RM1,000, RM700 dan RM500 beserta pingat.

Seramai 1,200 pelumba tempatan dan luar negara bersaing bagi merebut kejuaraan dalam kejohanan yang mempertandingkan lima kategori itu.

Sarocha Kamonlakhon (Thailand Allstar) pula mengungguli kategori Terbuka Wanita dengan 1’39:16s, diikuti Masziyaton Mohd Radzi (SBS-Giant) 1’43.25s manakala Nor Azian Alias ketiga 1’46:47s.

Bagi kategori Lelaki Senior Master, bekas atlet triathlon negara Mohd Razani Hussin mengungguli kategori itu dengan 1’34:14s meninggalkan bekas pelumba negara Nor Affendy Rosli (Exitway Mercury Team) 1’36:43s manakala Tan Chee Yong (SBS Giant) ketiga 1’36:53s.

Peserta Thailand sekali lagi mengungguli kategori Lelaki Junior Master apabila Surachet Sun Jui (Thailand Allstar) muncul juara dengan 1’33:49s diikuti Zukri Tahir dan Azizul Azli Shaari masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Majlis pelepasan pelumba disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Nazlee Khalifah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat dan Pegawai Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri.

Kejohanan HMMTB kali ini turut mendapat kerjasama Affin Bank Group, Honda Malaysia Sdn Bhd, Polygon, Deuter, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Julie’s Biscuits, Isuzu Malaysia, Pepsico dan Bukit Merah Laketown Resort.

Turut memberikan kerjasama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 3:36 AM