Pemain Selangor Mohd Bunyamin Umar (kiri) diasak pemain Terengganu Tchetche Herman pada perlawanan Piala Malaysia. FOTO BERNAMA
BERNAMA

HILANG tumpuan saat akhir menyebabkan Skuad Penyu kecundang 3-2 kepada Selangor di laman sendiri dalam aksi peringkat Kumpulan Piala Malaysia.

Pengendali pasukan Terengganu Ifran Bakti Abu Salim berkata kesilapan dilakukan oleh bahagian pertahanan menyebabkan pasukan Merah Kuning dapat menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

"Pengakhiran permainan kurang menyeronokkan walaupun kita berjaya berada di depan dengan jaringan 1-0 pada babak pertama permainan, namun pasukan lawan bangkit dan berjaya menjaringkan gol demi gol.

"Kita hendak dapatkan gol bukannya mudah tapi kesilapan saat akhir menyebabkan kita tewas," katanya selepas tamat permainan, semalam.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Ismail Faruqi Ashari meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 m-23 sebelum Francis Forkey Doe menyempurnakan sepakan percuma m-51 untuk menyamakan kedudukan. –

Muhammad Syahmi Safari kemudian meletakkan Selangor di depan empat minit kemudian sebelum Tchetche Hermann Brice Kipre menjadikan kedudukan 2-2 m-77.

Rufino Segovia Del Burgo muncul wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Ifran Bakti bagaimanapun mahu anak didiknya melupakan kekalahan itu dan terus mempamerkan aksi terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan dalam Liga Perdana dan Piala Malaysia nanti.

Terengganu berada dalam kumpulan D mengumpul tiga mata selepas empat perlawanan dalam Piala Malaysia.

Selangor di tangga teratas kumpulan dengan 10 mata diikuti JDT (7) dan Sarawak tempat keempat dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:59 PM