Annuar mahu Kelantan kembali mencabar. FOTO fail HM
Mohamad Zulhairie Manzaidi


PENASIHAT Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa sedih dengan prestasi yang dipamerkan pemain pasukan Kelantan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menerusi entri terbaru Facebook miliknya, Annuar berkata walaupun gaji masuk tepat masanya namun prestasi pemain merudum.

"Hari ini duit gaji The Red Warriors (TRW) sebanyak RM816,000 sebulan untuk Julai sudah diserah pada bendahari.

"Gaji sudah 'on time', tapi tengok prestasi mereka sangat menyedihkan.

Menurutnya, persembahan yang dipamerkan anak buah bimbingan Zahasmi Ismail tidak memuaskan.

"Tak padan (cukup) dengan susah payah cari 'pitih' (wang) kalu bo staro tu (jika setakat itu) prestasi pasukan.

"Apa pun terserahlah pada pengurusan KAFA dan pemain. Saya hanya boleh bantu cari dana setakat saya mampu," katanya.

Beliau juga berharap pengurusan KAFA dapat melakukan sesuatu dalam mengembalikan aksi sebenar pasukan itu.

"Saya harap pengurusan dan exco KAFA jangan berpeluk tubuh," katanya.

Pasukan TRW dibelasah Kedah di Stadium Darul Aman yang menyaksikan Kelantan kini di tangga kesembilan dalam saingan Liga Super.

Malah Kelantan juga tewas kepada pasukan bukan pilihan UiTM FC dalam perlawanan Piala Malaysia Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 6:17 PM