PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) berebut bola dengan pemain UiTM, Faizal Ariff pada saingan di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Lokman Zainal Abidin

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Kedah dan FELDA United muncul tiga lagi pasukan yang mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2017 selepas menang ke atas lawan masing-masing, malam tadi.

Johor DT membelasah Terengganu 5-0 di Stadium Larkin manakala Kedah mengalahkan UiTM FC 1-0 di Stadium Darul Aman sambil FELDA United cemerlang dengan keputusan 3-2 menentang PKNS di Stadium Tun Abd Razak, Jengka.

Johor DT mengiringi Selangor dari Kumpulan D manakala Kedah muncul satu-satunya pasukan Kumpulan C yang layak ke suku akhir dan satu lagi slot menjadi rebutan Kelantan dan Melaka United yang akan bersaing di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, malam ini.

FELDA United pula muncul naib juara Kumpulan B di belakang Perak yang sudah mengesahkan tiket lebih awal dan kemenangan 2-0 The Bos Gaurus ke atas Kuala Lumpur malam tadi mengukuhkan lagi kedudukan mereka selaku pendahulu.

Meskipun tewas 0-6 di tangan Pahang di Stadium Darul Makmur, PKNP FC sudah mengesahkan tiket dan kemenangan Tok Gajah itu membuatkan saingan antara skuad gergasi Pantai Timur berkenaan dengan T-Team dan Negeri Sembilan kembali terbuka.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team menang 4-1 ke atas Negeri Sembilan sekali gus merencatkan impian skuad Hobin Jang Hobin untuk menduduki tangga kedua kumpulan.

Pasukan yang akan mengiringi PKNP FC ke suku akhir terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:15 PM