JOEL (kiri) dua kali rebah ketika Pusingan Kedua Liga Dunia di Dhaka.
Jugjet Singh
jugjet@nst.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih hoki kebangsaan Stephen van Huizen akan mempertaruhkan anaknya Joel Samuel van Huizen dalam Sukan SEA selepas lulus ujian perubatan baru-baru ini.

Joel rebah dua kali sewaktu Pusingan Kedua Liga Dunia, Mac lalu dan sebelum itu pernah pengsan ketika beraksi mewakili Kelab Hoki Kuala Lumpur dalam Liga Hoki Malaysia.

Selepas Dhaka, Joel direhatkan dan tidak diturunkan untuk Piala Azlan Shah dan Separuh Akhir Liga Dunia di London yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga keempat dan layak ke Piala Dunia di India, tahun depan.

“Susulan insiden di Dhaka saya merehatkannya untuk dua lagi kejohanan tapi mengekalkannya dalam skuad pelatih. Dia akan beraksi di Sukan SEA kerana ISN (Institut Sukan Negara) menjalankan ujian terhadapnya dan meluluskannya.

“Kecergasannya menjadi soalan pertama ditanya pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) kepada saya ketika membentangkan senarai 18 pemain ke Sukan SEA.

“Selepas menunjukkan laporan perubatan, mereka bersetuju menurunkan Joel,” kata van Huizen.

Di Dhaka, Joel mencetuskan kontroversi apabila tiba-tiba pengsan ketika beraksi menentang Sri Lanka pada perlawanan suku akhir.

Memandangkan dia jatuh ketika tidak memukul bola, pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Sri Lanka paling hampir kerana menyangka dia memukul kepala Joel dengan kayu hoki.

Pemain Sri Lanka itu melakukan protes tetapi dibuang padang ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Pegawai pertandingan dan pengurus pengadil Amarjit Singh (dari Malaysia) melihat insiden berkenaan menerusi video selepas perlawanan itu dan terkejut melihat Joel rebah sendiri tanpa disentuh pemain Sri Lanka itu.

Kad merah itu ditarik balik namun kisah itu tidak berhenti di situ.

Pada perlawanan separuh akhir menentang Mesir, Joel sekali lagi rebah dan dibawa keluar tetapi kali ini pengadil bertindak bijak.

Pengarah Teknikal Terry Walsh ketika itu berkata: “Pelbagai ujian dijalankan terhadap Joel tapi mereka masih gagal menemui punca mengapa dia pengsan secara tiba-tiba.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 11:41 AM