STADIUM Nasional boleh menempatkan 85,000 penonton.

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menjanjikan upacara pembukaan temasya Sukan SEA ke-29 (KL2017) pada 19 Ogos depan sesuatu yang gilang-gemilang dan akan terpahat di hati seluruh rakyat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“MASOC mahu upacara pembukaan rasmi temasya Sukan SEA nanti sebagai suatu pengalaman menarik dan diingati. Kami akan pastikan persembahan itu berbaloi dengan nilai untuk wang semua penonton yang datang ke Stadium Nasional.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan elemen-elemen persembahan yang akan dipaparkan. Biarlah ia menjadi rahsia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC Datuk Seri Zolkples Embong kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan ‘Ruang Bicara’ di Wisma Bernama, semalam.

Apa yang pasti menurut Zolkples, syarikat yang dilantik untuk mengendali dan mereka cipta persembahan untuk majlis pembukaan dan penutupan rasmi temasya dwitahunan itu telah menyediakan yang terbaik untuk tatapan rakyat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Katanya, walaupun MASOC ‘merahsiakan’ elemen persembahan yang bakal disajikan pada malam pembukaan rasmi, penjualan tiket untuk majlis itu sudah mencapai 70 peratus.

Stadium Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur, yang baru saja menjalani kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian, boleh menempatkan sejumlah 85,000 penonton dalam satu masa.

Zolkples berkata upacara penutupan rasmi juga akan mempunyai elemen kejutan yang tersendiri.

“Di samping kita mengadakan majlis penutupan rasmi, ia juga akan menjadi sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 2:06 AM