M Saravanan (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan penajaan emas dari Satoru (dua dari kiri) kepada Zolkples di pejabat Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya, semalam.

Putrajaya: Berbaki 14 hari menjelang penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) terus mendapat kepercayaan syarikat korporat dan terbaru, Sony (Malaysia) Sdn Bhd hadir menjadi sebahagian daripada keluarga MASOC.

Sony buat julung kalinya tampil sebagai penaja emas membabitkan kategori penajaan di antara RM3 hingga RM7.5 juta dan akan dikenali sebagai ‘Kamera Rasmi KL2017’.

Perjanjian penajaan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong bersama pengarah Urusan Sony Malaysia, Satoru Arai yang turut disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Selain kamera, penajaan Sony akan turut merangkumi wang tunai dan sokongan pemasaran untuk mempromosikan jenama Kl2017.

“Keputusan Sony menjadi penaja memberi peluang pemasaran yang luas sepanjang berlangsungnya KL2017.

“Ia sememangnya satu pencapaian kepada Sony kerana setiap detik kemenangan, suka, duka dan setiap pengalaman yang dilalui di KL2017 kini dirakamkan secara rasmi oleh kamera yang dikeluarkan syarikat itu,” kata Saravanan.

Bersempena penganjuran temasya dwitahunan dan Para ASEAN itu, Sony akan meminjamkan antara 30 hingga 50 kamera model a9 bagi kegunaan jurugambar rasmi KL2017.

Sementara itu, Saravanan turut memaklumkan semua venue pertandingan kini sudah bersedia untuk menganjurkan temasya dwitahunan kali ke-29 itu.

Ia membuktikan Malaysia sudah bersedia menjadi tuan rumah apabila segala kemudahan dapat disiapkan sebelum kejohanan.

Bagaimanapun, bagi memastikan kelancaran pada hari pembukaan temasya, Saravanan menyarankan penonton yang hadir menggunakan kemudahan awam.

Sukan SEA akan membuka tirai penganjuran dari 19 hingga 30 Ogos ini membabitkan sejumlah 405 acara bagi 38 sukan dengan kedatangan atlet dari 10 buah negara Asean dan Timor Leste.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 2:15 AM