Ajitpal Singh
ajitpalsingh@nst.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh terjun baru dunia Cheong Jun Hoong teruja menjadi antara tiga pembawa Jalur Gemilang untuk Malaysia pada upacara pembukaan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil, 19 Ogos ini.

Jun Hoong yang memenangi emas 10m platform individu pada Kejohanan Dunia di Budapest bulan lalu terpilih bersama-sama seorang lagi dua lagi jaguh dunia iaitu atlet berbasikal Azizulhasni Awang dan pesilat Mohd Al-Jufferi Jamari.

“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan yang memberikan saya penghormatan dan pengiktirafan sebagai pembawa bendera,” kata Jun Hoong, yang ketika ini menjalani latihan pusat di Guangzhou, China.

“Saya menerimanya sebagai anugerah dari negara atas semua kesukaran dan halangan yang diharungi untuk menjadi seorang penerjun disegani.

“Ia juga satu detik istimewa kerana Malaysia mempunyai tiga pembawa bendera. Ia hadiah paling berharga pernah saya terima sebagai atlet dan saya teruja.”

Terjun juga mendapat pengiktirafan sama di Sukan SEA Singapura 2015 dengan Leong Mun Yee sebagai pembawa bendera.

Upacara penyerahan bendera secara rasmi kepada pasukan Malaysia akan diadakan di Putrajaya esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 10:43 AM