JU Pha (kanan) menjalani latihan menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur di Velodrom Nasional, semalam.
Jumiati Rosly

Nilai: Pelumba berbasikal negara Ju Pha Som Net mengakui tertekan dalam menjelmakan pingat buat negara di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

“Kalau diikutkan memang sedikit tertekan kerana saya berehat enam bulan bagi menjalani latihan rekrut polis.

“Saya hanya mula berkayuh semula pada Mei lalu, jadi ada tiga bulan saja sebelum temasya. Jadi agak terkejar-kejar,” katanya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional di sini semalam.

Ju Pha berkata, bagaimanapun dia menyasarkan untuk menduduki podium dalam penyertaannya dalam acara omnium nanti.

“Kali terakhir acara trek dipertandingkan pada 2011 di Jakarta dan saya memenangi emas acara pecut berpasukan bergandingan dengan Fatehah (Mustapa). Bagaimanapun kali ini saya hanya akan beri tumpuan terhadap omnium dan dua acara lebuh raya,” katanya.

Katanya, pelumba dari Indonesia dan Thailand bakal menjadi saingan utama nanti.

“Saya tak tahu tahap saya dalam kalangan peserta lain buat masa ini kerana sudah lama tidak bersaing dengan mereka. Kali terakhir saya bertemu mereka adalah pada Kejohanan Berbasikal Asia di Jepun tahun lalu,” katanya.

Pelumba basikal yang berasal dari Perlis itu berkata, dia berharap dapat mengelak kecederaan bagi membolehkannya beraksi dengan baik apa lagi keluarganya akan memberi sokongan di Nilai nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 10:59 AM