X
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih pecut wanita negara M Balamurugan (tiga dari kiri) sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung isu disiplin membabitkan pelari S Komalam Shally kerana sudah dimaklumkan lebih awal oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Biarpun mengaku persiapan kuartet 4x100 meter akan sedikit terjejas menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan menyingkap tirainya secara rasmi 19 Ogos ini, sebagai jurulatih beliau terpaksa akur dengan keputusan tertinggi badan induk berkenaan.

Beliau sudah sedia maklum bahawa kemelut membabitkan Komalam kerana ia bukan isu baru sebaliknya atlet berusia 29 tahun sudah ada dalam pemerhatian pengurusan sejak tiga bulan lalu.

“KOM tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan saya perlu patuhi arahan.

“Sudah banyak peluang dihulurkan kepadanya dan saya rasa lebih enam atau tujuh kali amaran diberikan,” katanya.

Namun, Balamurugan tetap optimis gandingan membabitkan pelari senior dan junior mampu menghadiahkan pingat buat negara.

“Saya yakin pelari junior yang menggantikan tempat Komalam dapat menggalas tugas yang diamanahkan dan misi pemburuan pingat bukan mustahil,” katanya.

Tanpa kelibat Komalam yang beraksi sebagai pelari ketiga dalam kuartet 4x100 meter, skuad negara kini akan dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias, Fatin Faqihah Mohd Yusof dan Norris Foo sebagai simpanan.

Penyenaraian atlet junior terpaksa dilakukan selepas Shareen Samson Vallabouy mengalami kecederaan.

Begitupun berdasarkan statistik, kedudukan kuartet negara untuk meraih emas adalah tipis dengan catatan rekod kebangsaan 45.18s belum cukup menjanjikan emas buat kem negara.

Dua tahun lalu di Singapura, acara berganti-ganti itu menjadi milik kuartet Thailand yang merekodkan 44.27s, Vietnam perak 44.77s dan gangsa milik Malaysia 45.41s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:05 AM