MULIYADI (dua dari kanan) harap pemain pamer aksi terbaik.
MULIYADI (dua dari kanan) harap pemain pamer aksi terbaik.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketika dua sukan berasaskan raket cukup sinonim dengan dominasi atlet Malaysia di pentas antarabangsa seperti badminton dan skuasy, lain pula ceritanya bagi acara tenis yang jarang menghadirkan berita gembira buat kontinjen negara.

Berbanding Thailand, negara Gajah Putih itu dilihat jauh meninggalkan Malaysia apabila ramai pemain tenis mereka sudah beraksi di kejohanan tertinggi seperti Grand Slam.

Maka, tidak hairanlah mengapa pasukan tenis negara sekadar meletakkan sasaran dua pingat gangsa pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula dari 21-26 Ogos ini.

Menurut jurulatih skuad tenis negara, Muliyadi Jamal, sasaran dua pingat gangsa menerusi acara beregu lelaki dan wanita dianggap cukup realistik berdasarkan ranking semasa.

Bagaimanapun, atlet negara akan berdepan barisan pemain handalan terutama dari Thailand yang pernah beraksi di Grand Slam manakala pemain Indonesia seperti Cristopher Rungkat pernah bermain di Wimbledon sambil Ly Nam Hoang dari Vietnam adalah bekas juara remaja Wimbledon.

“Secara realistik, dua gangsa itu tidak mustahil dan jika keadaan memihak kepada kita serta pemain dapat bermain dengan baik, mungkin mereka boleh menukar warna pingat itu.

“Kejutan itu bukan satu yang mustahil. Kita tunggu masa Sukan SEA itu nanti,” katanya yang berharap kelebihan beraksi di gelanggang sendiri mampu memberi kejutan.

Sukan tenis menawarkan lima emas iaitu empat dalam acara individu dan beregu lelaki wanita dan satu emas berpasukan.

Tenis pernah menyumbang pingat emas menerusi beregu wanita negara Radhika Menon dan Lim Kheow Suen pada Sukan SEA 1973 dan pencapaian terbaik negara hanyalah perak pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur bagi acara berpasukan wanita.

Dua tahun lalu, skuad tenis negara berjaya menyumbangkan satu gangsa dalam acara lelaki berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:21 AM