NORZA (kiri) beramah mesra bersama Chong Wei di Akademi Badminton Bukit Kiara.
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tidak gusar dengan undian yang disifatkan sukar buatnya pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland bermula 21 Ogos ini.

Sebaliknya dia menegaskan untuk menjadi juara dunia, dia perlu ‘langgar’ semua halangan bagi membolehkan dia merealisasikan impiannya itu buat kali pertama.

“Untuk menjadi juara dunia saya perlu lawan semua orang tidak kira siapapun. Saya sudah beberapa kali gagal di final Kejohanan Dunia, jadi kali ini saya tidak rugi apa-apa untuk mencuba, yang penting saya kekal bersemangat dan buat persiapan terbaik.

“Ini Kejohanan Dunia yang paling sukar kerana China ada empat pemain layak.


NORZA (tengah) beramah mesra bersama pemain, jurulatih dan pengurusan BAM.

“Undian sudah keluar, saya akan fikir satu demi satu perlawanan dan bincang dengan jurulatih mengenai setiap lawan saya nanti,” kata Chong Wei ketika ditemui selepas perhimpunan pemain bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.

Pada majlis undian semalam, Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dijangka bertemu juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China jika layak ke suku akhir.

Malah, dia sebelum itu perlu berdepan seorang lagi pemain China, Tian Houwei di pusingan ketiga.

Jika berjaya melepasi halangan dua pemain lawan itu, Chong Wei, 35, dijangka bertemu pilihan ketiga dari Denmark, Viktor Axelsen sebelum musuh tradisinya, Lin Dan dari China menanti di pentas final.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali (2008, 2012 dan 2016) akan membuka tirai saingan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama.

Pemain berusia 35 tahun itu berkata, biarpun Kejohanan Dunia penting buatnya selain menjadi impiannya untuk muncul juara namun dia perlu kekal tenang supaya tidak terlalu tertekan.

“Tekanan perkara biasa, jadi saya perlu lebih tenang. Lebih kurang dua minggu sebelum kejohanan bermula, saya perlu pastikan saya jaga kesihatan, pemakanan, tidur awal dan rehat secukupnya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 12:34 PM