Najib bersama Khairy dan atlet Malaysia selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Sukan Sea di PICC, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: “Saya mewakili lebih 30 juta rakyat Malaysia berdiri di depan tuan puan (atlet) dengan pesanan, berjuanglah dengan bersungguh-sungguh dan lakukan sebaik mungkin.

“Kami hanya mampu berdoa, bertepuk dengan sekuat mungkin sehingga lebam, tetapi akhirnya anda semua yang akan membuktikan sama ada kilauan emas menjadi milik Malaysia (atau sebaliknya).

“Saudara saudari lakukan ini kerana apa? Kerana tiada perasaan lebih manis dan boleh pudar daripada ingatan, atlet yang akan bertanding apabila berdiri di atas pentas (selepas) memenangi tempat pertama dan dikalungkan pingat emas dan pada masa sama lagu Negaraku berkumandang sebagai tanda menjuarai acara yang disertai.

“Ini ingatan yang mahal dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit yang pasti sampai saudara saudari menghembus nafas terakhir pun ia (kemenangan) tidak akan lupa dan luput dari ingatan, jadi lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan negara.”

Itu amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Kontinjen Malaysia membabitkan hampir 700 atlet dan pegawai pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA dan PARA ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Turut hadir mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia Tun Jeanne Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Najib yang kelihatan sangat bersemangat mahu semua atlet yang bertanding berjuang bersungguh-sungguh, dan memastikan Malaysia menjuarai temasya itu memandangkan mereka ‘bertempur’ di gelanggang sendiri.

Beliau berkata, semua atlet ini sudah berkorban masa dan tenaga sejak sekian lama berlatih dan temasya itu menjadi landasan untuk membuktikan kemampuan mereka, sekali gus muncul juara pada KL2017.

“Ingatlah saudara-saudari (atlet) akan bersaing di bumi sendiri, berhempas pulas bersama-sama rakyat, bukan di tempat lain, tetapi di sisi rakyat yang pastinya akan memberi sokongan padu dengan penuh semangat dan doa restu tanpa mengira keturunan, bangsa, agama dan budaya.

“Dalam hati setiap rakyat Malaysia, mereka hanya ingin melihat kejayaan setiap atlet kita, negara menjadi tuan rumah yang terbaik dan lebih daripada itu muncul sebagai juara pada KL2017,” katanya

Najib berkata, kemudahan yang disediakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan lokasi penganjuran sukan lain sempena temasya ini juga diakui bertaraf dunia.

“Sudah sampai masanya apabila kemudahan bertaraf dunia kita nak lihat persembahan atlet juga bertaraf dunia atau sekurang-kurangnya terbaik di Asia Tenggara,” katanya.

Pada majlis ini, kontinjen negara menerima Jalur Gemilang daripada Perdana Menteri sebagai simbolik kesediaan merangkul kejuaraan keseluruhan bermula 19 Ogos depan.

Sambil disaksikan Khairy, Perdana Menteri menyerahkan Jalur Gemilang kepada pesilat yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015 Al-Jufferi Jamari dan atlet terjun Cheong Jun Hoong.

Cheong adalah pembawa bendera kontinjen negara pada upacara pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada majlis sama, hampir 700 atlet yang diketuai Datuk Marina Chin berikrar mencatat pungutan pingat emas tertinggi sebagai hadiah terbaik meraikan ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-60, dan bacaan ikrar dilafazkan oleh jaguh lempar cakera, Irfan Shamshuddin.

Sebanyak 874 atlet dan 392 pegawai mewakili Malaysia untuk bertanding dalam 38 jenis sukan pada temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:08 AM