DEMBELE (tengah) dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.
AFP

BORUSSIA Dortmund menyatakan semalam mereka menolak tawaran daripada Barcelona untuk melepaskan Ousmane Dembele, ketika penyerang yang mahu berpindah itu digantung kerana gagal menjalani latihan.

Dortmund menyatakan Dembele tidak mungkin berpindah ke Nou Camp, yang mana dia dinamakan sebagai pengganti Neymar, selepas mereka menolak tawaran yang tidak menggambarkan nilai “luar biasa” pemain sayap muda itu dalam pasaran perpindahan semasa.

“Oleh kerana tidak ada tawaran lain yang datang, perpindahan pemain ini ke FC Barcelona ketika ini tidak mungkin berlaku,” menurut kenyataan kelab itu.

Dembele, pada usia 20 tahun dianggap sebagai seorang daripada pemain paling berbakat di Eropah, diburu untuk mengisi kekosongan ditinggalkan berikutan perpindahan Neymar ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) minggu lalu.

Akhbar tabloid Jerman, Bild melaporkan Dortmund mahukan sekurang-kurangnya 150 juta euro (RM758 juta) buat bintang sedang meningkat mereka, harga yang enggan dibayar Barca.

Dembele, yang tidak merahsiakan hasratnya untuk menyertai Barcelona, gagal tampil bagi sesi latihan semalam.

“Kami tidak tahu kenapa. Kami cuba menghubunginya tapi gagal,” kata jurulatih Dortmund, Peter Bosz kepada wartawan.

Dortmund menggantung serta-merta pemain Perancis itu kerana gagal menghadirkan diri tanpa sebarang alasan. Dia digantung hingga perlawanan Piala Jerman hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 8:19 AM