KLOOP harungi Liga Juara-Juara kali pertama bersama Liverpool.
AFP

SESUDAH layak ke Liga Juara-Juara Mei lalu, cabaran Liverpool seterusnya adalah memenangi trofi kejuaraan utama pertama di bawah kendalian Juergen Klopp, namun sama ada mereka mampu memenuhi impian itu menjadi topik perdebatan di Anfield.

Ramai penyokong Liverpool bimbang kelab mereka kurang aktif dalam jendela perpindahan pemain, hanya mengikat tiga pemain dan setakat ini gagal membeli dua pemain sasaran utama - pemain tengah RB Leipzig, Naby Keita serta pertahanan Southampton, Virgil van Dijk.


LIVERPOOL perlu lebih mantap musim ini.

Van Dijk mungkin akhirnya menyertai Liverpool, selepas menghantar permohonan berpindah Isnin lalu tetapi kelab itu sedar mereka tidak mungkin dapat mengikat Keita ketika jendela perpindahan musim panas ini.

Bagaimanapun tetap ada nada optimis ketika anak buah Klopp memulakan kempen Liga Perdana di Watford malam esok.

Hanya tiga pasukan teratas menjaringkan lebih banyak gol Liga Perdana berbanding Liverpool musim lalu dan serangan mereka diperkuatkan dengan pembelian dengan rekod kelab £37 juta (RM206 juta) Mohamed Salah, salah seorang pemain hebat Serie A bersama AS Roma musim lalu.

Pemain kebangsaan Scotland, Andy Robertson, dibeli dari Hull dengan harga £8 juta (RM45 juta), mungkin menyelesaikan masalah Liverpool di pertahanan kiri manakala penyerang muda Dominic Solanke tiba dari Chelsea dengan penuh potensi.

Mengekalkan Philippe Coutinho berikutan minat daripaa Barcelona satu lagi tugas berat Reds.

Liverpool menolak dua bidaan Barca terhadap penyerang Brazil itu, kedua dilaporkan tawaran bernilai £90 juta (RM502 juta) Rabu lalu dan menegaskan mereka tidak berhasrat menjual pemain yang bersetuju dengan kontrak lima tahun Januari lalu.

Malangnya buat Klopp, Coutinho mungkin tidak beraksi di Vicarage Road, sesudah terlepas aksi persahabatan menentang Athletic Bilbao hujung minggu lalu kerana kecederaan belakang.

Ogos menjadi bulan penting buat Liverpool, ketika mereka berdepan Arsenal dalam Liga Perdana selain dua aksi kelayakan Liga Juara-Juara menentang Hoffenheim namun Klopp sudah bersedia.

“Apabila kami menamatkan musim lalu di tangga keempat, setiap orang terlalu gembira mengenainya,” katanya.

“Setiap orang memikirkan mengenai kelayakan Liga Juara-Juara tapi Watford adalah sasaran pertama.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:03 PM