Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Pemain skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Safawi Rasid (gambar) mengingatkan rakan sepasukan supaya fokus kepada halangan peringkat kumpulan sebelum mahu memasang impian beraksi di final Sukan SEA, hujung bulan ini.

Meskipun mengaku ada harapan untuk mereka menamatkan penantian merangkul pingat emas di laman sendiri sejak kali terakhir pada 1989, namun saingan peringkat Kumpulan A tidak boleh diambil mudah.

“Bermain di tempat sendiri bukan satu bebanan tapi kelebihan kepada kita, cuma saya dan semua rakan sepasukan harus berikan 100 peratus komitmen.

“Dalam setiap perlawanan, setiap minit, kena berjuang sehingga tamat permainan. Semua pasukan bagus, kita cuma mahu menang saja, sebab ini peluang untuk kita meraih pingat emas Sukan SEA kembali,” kata Safawi.

Safawi yang berusia 20 tahun dan kini mewakili kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) antara enam pemain yang dipanggil semula oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee selepas tidak mendapat pelepasan untuk bersama pasukan dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu.

Pemain sayap itu mengaku, tiada pemain sudah terjamin tempat untuk berada dalam senarai akhir 20 pemain yang akan diumumkan hari ini.

“Kami sekarang fokus dalam latihan bagi menghadapi saingan Sukan SEA, bagi saya peluang yang jurulatih berikan akan saya ambil sebaik mungkin.

“Bagi saya, semua pemain mahu beraksi di Sukan SEA jadi kami perlu bersaing untuk merebut tempat,” jelas Safawi.

Malaysia yang juga juara 2011 di Jakarta, bakal memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini sebelum berdepan Singapura, Myanmar dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:31 AM