DAFNE (tengah) ketika melepasi garisan penamat.
AFP

DAFNE Schippers berjaya mempertahankan kejuaraan dunia 200 meter awal pagi tadi dalam perlumbaan akhir menarik untuk menyertai pelari hebat Allyson Felix dan Merlene Ottey memenangi acara itu lebih sekali.

Pelari Belanda berusia 25 tahun itu, yang menang gangsa dalam acara 100m, mencatat masa terpantas musim ini 22.05 saat.


DAFNE dua kali berturut-turut menjuarai acara 200m wanita.

Dafne, yang dibayangi pelari Jamaica, Elaine Thompson pada Sukan Olimpik tahun lalu berkata, ia satu pertarungan sengit untuk mengekalkan mahkotanya dalam acara itu yang tidak menampilkan sama ada Elaine atau juara 100m dunia dari Amerika Syarikat yang juga pemenang pingat gangsa 200m Olimpik, Tori Bowie.

Elaine memutuskan untuk tidak bertanding manakala Tori menarik diri selepas cedera pada final 100m.

“Saya berjuang untuk memenanginya,” kata Dafne. “Saya sudah bekerja keras tahun ini jadi saya amat gembira. Ia terlalu bagus. Dua kali berturut-turut satu pencapaian yang amat istimewa.

“Seronok apabila saya berjalan di sekitar stadium (meraikan kejayaannya) dan melihat warna oren jadi ia amat menakjubkan.

“Penting untuk menang. Saya bekerja keras sejak beberapa tahun kebelakangan dan tahun lalu tidak mudah buat saya.

“Saya mengubah semuanya dan mendapat jurulatih baru, jadi saya amat gembira.”

Pelari Ivory Coast, Marie-Josee Ta Lou terpaksa berpuas hati dengan perak kedua acara pecut, mencatat rekod kebangsaan negaranya 22.08s manakala Shaunae Miller-Uibo dari Bahamas meraih gangsa dengan masa 22.15s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 9:05 AM