LUKAKU mahu ledak jaringan pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris buat Manchester United, malam esok.
AFP

London: Rekod jaringan menakjubkan Romelu Lukaku menentang West Ham United bermakna dia menjangkakan untuk meledak apabila melakukan penampilan sulung Liga Perdana Inggeris buat Manchester United, malam esok.

Pemain kebangsaan Belgium berusia 24 tahun itu menjaringkan sembilan gol dalam sembilan penampilan pertama menentang West Ham bersama bekas pasukannya Everton sebelum kelab timur London itu akhirnya menafikannya daripada menjaringkan gol ketika seri 0-0 April lalu.

Lukaku menyumbat gol sagu hati ketika United tewas 1-2 kepada Real Madrid pada Piala Super UEFA di ibu negara Macedonia, Skopje, Selasa lalu dan rakan sepasukannya sudah terpukau dengan apa yang mereka lihat ketika pramusim.

“Lukaku sudah melakukan tugas hebat bersama kelab ini,” kata pertahanan kanan United, Antonio Valencia.

“Saya sering berada di samping Romelu. Dia memang kuat. Saya melihatnya bekerja di padang dan di gimnasium.

“Amat mengagumkan melihat kekuatannya, tenaga dan kebijaksanaan dimilikinya. Kami harap ia tahun yang bagus buatnya dan pasukan.”

Lukaku, dibeli dengan harga £75 juta (RM419 juta) dari Everton, mungkin salah seorang daripada tiga pemain yang akan membuat penampilan sulung liga bersama United malam esok di samping Victor Lindelof dan Nemanja Matic.

Pengurus United, Jose Mourinho menggunakan formasi konservatif 5-3-1-1 menentang Real Madrid namun dijangka lebih berani menentang West Ham, yang tidak menang di Old Trafford dalam tempoh 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 12:01 PM