CAROLINE tewaskan Karolina pertama kali dalam kariernya.
AFP

Toronto, Kanada: Caroline Wozniacki terselamat daripada tiga penangguhan kerana hujan sebelum menempah tiket ke separuh akhir kejohanan WTA Toronto dengan kemenangan maraton 7-5, 6-7 (3/7), 6-4 ke atas pemain nombor satu dunia Karolina Pliskova, awal pagi tadi.

Caroline, pilihan keenam, melakar kemenangan pertama karier ke atas pemain nombor satu dunia dalam tujuh percubaan apabila dia membenam lapan servis ace dalam masa dua jam 56 minit di gelanggang tengah.


PETUGAS kejohanan sedang mengeringkan lantai kerana hujan.

Dia akan berdepan pemain Amerika Syarikat, Sloane Stephens, yang menyelamatkan tiga mata penamat pada set ketiga sebelum menyingkirkan Lucie Safarova 6-2, 1-6, 7-5 pada suku akhir.

“Saya fikir dia bermula dengan amat bagus dan dia menyerang serta bermain dengan amat baik sekali,” kata Caroline.

“Saya hanya cuba kekal fokus, cuba membalas setiap pukulan dan cuba kekal agresif apabila boleh dan melakukan servis yang agresif juga.”

Rekod Caroline menentang pemain nombor satu dunia termasuk lima kekalahan kepada Serena Williams dan satu kepada Dinara Safina.

“Saya tidak terlalu memikirkannya,” ujar Caroline, mengulas mengenai usahanya mengalahkan pilihan utama.

“Saya sedar saya berdepan seseorang yang benar-benar bagus hari ini jadi saya terlalu gembira dengan kemenangan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 1:31 PM