CAROLINE WOZNIACKI
AFP

PEMAIN Denmark, Caroline Wozniacki mara ke final kejohanan tenis WTA Toronto selepas menewaskan Sloane Stephens manakala Elina Svitolina memerlukan dua kemenangan, semalam, untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

Caroline, juara 2010, memerlukan 80 minit untuk menundukkan Sloane 6-2, 6-3 dan mara ke final keenamnya tahun ini.

Pilihan kelima Elina menewaskan juara bertahan Simona Halep 6-1, 6-1. Kemenangan itu hadir beberapa jam selepas dia menyingkirkan juara Wimbledon, Garbine Muguruza 4-6, 6-4, 6-3 di suku akhir yang sebelum ini terpaksa ditunda dari Jumaat kerana hujan.

Biarpun mara ke lima final tahun ini, Caroline masih belum merangkul sebarang kejuaraan.

“Saya pernah mara ke enam final dalam satu tahun dan menang semuanya,” kata Caroline. “Saya mempunyai peluang untuk menang esok dan saya akan cuba melakukannya.”

Pilihan keenam itu mendahului 3-0 di set pertama sebelum kedudukannya bertambah baik dengan mendahului 5-1.

Selepas menang set pertama, Caroline mendahului 3-1 di set kedua sebelum Sloane menyamakannya 3-3.

Caroline kemudian mendapat kembali rentak permainannya dan memenangi set kedua 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 2:48 PM