FARAH Ayuni menjalani latihan untuk persiapan Sukan SEA. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PENJAGA gol hoki terbaik Asia, Farah Ayuni Yahya terlalu mengimpikan untuk mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sebagai memori terbaik penampilan terakhirnya pada temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, sudah cukuplah pencapaian yang diraih di Sukan SEA dan dia mengakui mahu memberi tumpuan kepada saingan lebih besar seperti Sukan Komanwel dan Asia pula pada tahun depan.

“Ini adalah penampilan keempat saya di Sukan SEA dan ia kemungkinan besar adalah yang terakhir.

“Saya benar-benar mahu beraksi pada edisi kali ini kerana ia berlangsung di halaman sendiri dan keluarga terdekat dapat menyaksikan saya di stadium.

“Selepas ini, fokus saya adalah untuk Sukan Komanwel dan Asia. Saya fikir sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pemain lain pula beraksi di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, sepatutnya skuad hoki wanita negara tidak berdepan masalah untuk mempertahankan pingat emas jika mengambil kira ranking Malaysia di tangga pertama rantau Asia Tenggara.

“Saya lihat persediaan pemain tidak berkurang, malah bertambah.

“Sebab fokus kami bukan saja terhadap Sukan SEA, sebaliknya untuk persiapan ke Piala Asia juga.

“Saya yakin kami mampu mempertahankan pingat emas seperti edisi-edisi yang lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:11 PM