AKHYAR RASHID. - Foto OSMAN ADNAN
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


PEMAIN paling muda dalam skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Akhyar Rashid tidak mahu dirinya dibayangi dengan fenomena yang dicetuskan oleh Muhammad Nazmi Faiz Mansor, enam tahun lalu.

Pada usianya 18 tahun, pemain Kedah itu mendapat kepercayaan jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk bersama skuad selepas pengguguran lapan pemain, kelmarin.

Nazmi yang dipanggil oleh Kim Swee pada saat akhir menggantikan Gary Steven Robbart akibat kecederaan baru berusia 17 tahun tetapi menjadi tonggak kejayaan pasukan negara merangkul pingat emas di Sukan SEA Jakarta 2011.

Akhyar yang juga adik kepada bekas pemain kebangsaan Rafdi berkata, dia tidak tertekan untuk beraksi dengan pemain lebih senior.

“Dalam setiap perlawanan, memang ada tekanan tetapi untuk saya yang paling muda dalam pasukan, saya fikir ia tidak mengganggu permainan saya.

“Tiada apa yang saya ingin buktikan kerana saya hanya perlu mengikut arahan jurulatih dan berikan aksi terbaik untuk membantu kemenangan pasukan.

“Selepas bersama dengan pasukan ini pada kelayakan AFC (B-23) di Bangkok dan kemudian kem latihan pusat, saya lebih yakin dan bersedia untuk beraksi,” katanya.

Pemain sayap ini hanya mengambil masa 15 minit untuk memikat Kim Swee ketika beraksi sebagai pemain gantian dengan Kedah menentang Perak dalam aksi Liga Super untuk dipanggil menyertai skuad ke kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, bulan lalu.

Akhyar dipanggil pada saat akhir bagi menggantikan pemain yang tidak mendapat pelepasan dan kehadirannya bukan saja membantu pasukan mara ke pusingan akhir di China, tahun depan, malah kelincahannya mendapat perhatian media antarabangsa termasuk Fox Sport Asia apabila menyenaraikan namanya sebagai pemain Asia Tenggara yang boleh beraksi di Liga Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:20 PM