FATIN NURFATEHAH. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


FOKUS ratu memanah negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh tidak terganggu walaupun perlu mengharungi Sukan SEA dan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) dalam tempoh seminggu.

Fatin Nurfatehah menjadi sandaran utama untuk mempertahankan emas compound acara individu, berpasukan dan campuran di Sukan SEA selain harapan sekurang-kurangnya gangsa bagi temasya peringkat universiti dunia di Taiwan itu.

Malah bagi aksi Sukan SEA di padang sintetik Majlis Sukan Negara, dia menjadi salah seorang calon untuk menghadiahkan emas pertama kontinjen negara menerusi acara individu.

Menurutnya, dia akan mengharungi saingan Sukan SEA dalam acara individu (16 Ogos), berpasukan (17 Ogos) dan campuran (18 Ogos) sebelum terbang ke Taiwan pada sebelah petang kerana sesi latihan rasmi UNIVERSIADE adalah pada Sabtu disusuli pertandingan individu keesokannya.

“Jadual saya memang amat padat minggu ini. Namun saya bersedia sepenuhnya kerana sudah mengetahuinya sejak awal, seharusnya ia tidak menjadi masalah.

“Fokus saya adalah kepada Sukan SEA terlebih dulu sebelum memikirkan cabaran di UNIVERSIADE. Sebolehnya saya mahu pertahankan tiga emas yang dimenangi dua tahun lalu namun memanah adalah sukan yang membabitkan aspek mental.

“Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri. Apabila sudah memberikan yang terbaik dan berpuas hati, ia sudah memadai,” katanya.

Menurut pemanah berusia 26 tahun itu, semua persiapan berjalan seperti yang diharapkan dan dia sudah bersedia menanti hari pertandingan.

Acara individu compound yang diwakili Fatin Nurfatehah adalah antara prospek emas pertama kontinjen negara selain acara lelaki compound dan chinlone yang berlangsung pada 16 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:31 PM