SYAFIQ Ahmad (kiri) dan Adam (tengah) di sesi latihan di padang Sime Darby FC. -Foto OSMAN ADNAN
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


TONGGAK pertahanan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Adam Nor Azlin sedia merantai pergerakan penyerang Brunei Faiq Jefri Bolkiah yang dijangka bakal menjadi ancaman utama dalam pertemuan pertama Kumpulan A di Stadium Shah Alam, esok.

Adam berkata, selepas perlawanan dua tahun lalu di Sukan SEA Singapura, dia percaya Brunei semakin meningkat termasuk Faiq Jefri yang mendapat pendedahan dengan skuad remaja kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City.

“Pada edisi lalu, dia ada bermain, dia bagus, lincah dan saya dengar dia ada pergi berlatih di luar negara. Saya sebagai pemain pertahanan perlu bersedia 100 peratus untuk mengawalnya,” katanya yang ditemui selepas sesi latihan, hari ini.

Faiq Jefri yang juga anak saudara kepada Sultan Brunei turut beraksi pada perlawanan Kumpulan B Sukan SEA Singapura namun tewas kepada Malaysia 0-2.

Adam yang kini beraksi dengan Selangor berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu.

Katanya, mereka harus belajar daripada perlawanan itu untuk memastikan tiada kejutan berlaku dalam perlawanan dengan Brunei di laman sendiri.

“Pada pertemuan sebelum ini dengan Brunei (di Singapura), kita ada cipta banyak peluang, jadi kali ini kita perlu menggunakan setiap peluang yang ada dan tidak perlu menunggu sehingga babak kedua atau minit akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:39 PM