ALLI (tengah) jaring gol pertama Spurs.
ALLI (tengah) jaring gol pertama Spurs.
AFP

MAURICIO Pochettino menegaskan kemenangan 2-0 Tottenham Hotspur di Newcastle dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris tidak mengubah keinginannya untuk akhirnya memperkukuhkan skuadnya sebelum jendela perpindahan berakhir.

Pochettino tetap menyedari Tottenham kurang mantap dan berkualiti untuk bersaing dalam empat pertandingan musim ini selepas gagal membeli sebarang pemain setakat ini dengan kelab pencabar mereka semuanya berbelanja sakan mendapatkan khidmat pemain baru.

Bos Spurs itu mendapat suntikan semangat apabila mereka memulakan musim dengan memenangi perlawanan yang seimbang hinggalah Newcastle kehilangan seorang pemain selepas Jonjo Shelvey dibuang padang pada awal babak kedua semalam.

Newcastle yang kembali ke Liga Perdana, berjaya menangani serangan Tottenham, namun kebodohan Shelvey memijak Dele Alli menjadi titik perubahan.

Gol sumbangan Alli dan Ben Davies menghukum kesilapan Shelvey, namun Pochettino masih mahu membawa masuk pemain baru sebelum pasaran perpindahan pemain ditutup hujung bulan ini ketika beliau menyasarkan untuk menyamai pencapaian musim lalu apabila mereka mencabar kejuaraan.

“Penting bermula dengan tiga mata tapi ia bukannya satu perlawanan hebat dan bukannya persembahan terbaik kami. Apa yang paling penting buat saya kami memulakan musim dengan langkah kanan,” katanya.

“Keseimbangan pasukan ini satu perkara utama dan kami perlukan beberapa muka baru untuk menyuntik tenaga baru. Penting untuk mencabar pemain terbaik anda dan menyegarkan skuad ini.

“Kami amat tenang untuk bersaing dengan cara sama seperti musim lalu tapi kami perlu membeli beberapa pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 9:43 AM