SHAHRUL (tiga dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) meninjau keadaan Stadium Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya.
SHAHRUL (tiga dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) meninjau keadaan Stadium Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya.
Farah Azharie


SKUAD ragbi wanita negara akan melakukan kejutan di Sukan SEA 2017 kerana mereka mempamerkan perkembangan yang positif biarpun dikumpulkan secara bersama dalam tempoh kurang setahun.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, beliau percaya anak buahnya mampu mara ke final dan mencapai sesuatu yang istimewa dalam kejohanan selama dua hari itu.

“Pasukan wanita menunjukkan perkembangan yang bagus, melebihi jangkaan saya dan saya optimis mereka mampu melakar kejutan dengan mara ke final meskipun sasaran kita adalah memenangi sebarang pingat tanpa mengira warna,” katanya.

Shahrul berkata, kedua-dua pasukan wanita dan lelaki negara mendapat tonik tambahan sebelum kejohanan berlangsung dengan kehadiran penasihat teknikal yang juga jurulatih Auckland 7 sebelah Edwin Cocker dari New Zealand dalam melakukan persiapan akhir mereka.

“Cocker sudah tiba dari New Zealand dan kami berharap dia dapat bekerjasama dengan pasukan jurulatih kita untuk memperbaiki persembahan pasukan terutama dalam aspek kekuatan mental selain psikologi untuk menangani pasukan lain,” katanya.

Perlawanan ragbi 7 sebelah akan diadakan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 19 hingga 20 Ogos ini dengan dua emas menjadi rebutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 1:03 PM
Digital NSTP Subscribe