DR S. S. Cheema
DR S. S. Cheema
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih banyak ujian dadah akan dijalankan pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur termasuk pemeriksaan darah bagi membersihkan temasya itu daripada penipu.

Lebih 4,000 atlet daripada 11 negara bakal berdepan teknologi anti-doping canggih mengikut standard ujian dadah Olimpik, menurut Datuk Dr S. S. Cheema yang mengetuai Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Kuala Lumpur 2017.

“Tidak mungkin dapat melepaskan diri kerana kami akan melakukan ujian air kencing dan juga sampel darah. Sebaik saja atlet mendaftar masuk ke bilik hotel mereka, kami akan mula melakukan ujian secara rawak atau ujian selepas pertandingan pada bila-bila masa. Pemenang pingat akan diuji 100 peratus,” katanya menjelang pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu Sabtu ini.

“Jumlah ujian akan lebih banyak pada kali ini kerana Malaysia menganjurkan 38 jenis sukan membabitkan 404 acara berbanding 36 jenis sukan dan 402 acara di Singapura.”

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan berapa banyak sampel akan diuji berbanding lebih 600 oleh negara pulau itu.

Beliau menerajui pasukan 150 petugas termasuk 80 pegawai kawalan anti-doping daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) untuk mengambil sampel yang akan dihantar untuk ujian di New Delhi, India dengan keputusannya dijangka dalam tempoh seawal 48 jam.

Antara bahan terlarang yang sering disalah guna adalah ubat-ubatan yang tidak dibenarkan untuk mengurangkan berat badan dan meningkatkan prestasi, ejen penyamaran untuk menyembunyikan kehadiran dadah lain dan erythropoietin atau lebih dikenali sebagai doping darah.

“Jenis bahan digunakan bergantung pada jenis sukan, seperti ‘beta blockers’ untuk memastikan tangan tidak bergoyang dalam sukan seperti menembak dan memanah, steroid untuk kelajuan dan kekuatan stamina, diuretik untuk mengurangkan berat badan supaya mereka boleh bertanding dalam kategori berbeza. Setiap sukan ada ruang untuk penipu, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 1:04 PM