NG EAIN YOW. -Foto fail
BERNAMA

UNDIAN acara skuasy memihak pasukan negara apabila mendapat laluan mudah dengan mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama bermula 21 Ogos ini.

Dua pemain perseorangan lelaki, Ng Eain Yow dan Muhammad Syafiq Mohd Kamal hanya akan diuji pada pusingan kedua apabila masing-masing bertemu Naing Oo (Myanmar) atau Tan Chi Lang (Singapura) dan Yan Naung Oo (Myanmar) atau Phuwis Poonsiri (Thailand).

Begitu juga dengan dua pemain wanita negara, S Sivasangari dan Rachel Arnold, kemampuan mereka akan diketahui di pusingan kedua dengan Sivasangari dijangka bertemu Nisa Nur Fadillah (Indonesia) atau Ei Ei Pyone (Myanmar) dan Rachel akan bertemu Anatana Prasertratanakul (Thailand) atau Yasiha Putra Yasandi (Indonesia).

Beregu lelaki Syafiq/Ng akan terus mara ke suku akhir bertemu beregu Myanmar, Zin Maung Mang/Thukha Thant atau beregu Filipina, David William Pelino/Juan Rafael Yam manakala satu lagi beregu lelaki, Mohd Farez Izwan Mohd Mukhtar/Ong Sai Hung akan bertemu Krittapat Pranich/Krittin Jindamang pada pusingan pertama.

Turut mendapat ‘bye’ pada pusingan awal ialah dua beregu wanita, Rachel/Aifa Azman dan Chan Yiwen/Nazihah Haris dan begitu beregu campuran, Sanjay Singh Chal/S.Sivasangari dan Ryan Neville Pasqual/Andrea Lee Jia Qi.

Dalam acara berpasukan lelaki, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia dan Thailand manakala skuad wanita diundi bersama Filipina dan Thailand, juga dalam Kumpulan A.

Pencabar terdekat skuad negara, Singapura berada dalam Kumpulan B bersama Filipina dan Myanmar untuk skuad lelaki, manakala wanita pula bersama Indonesia dan Myanmar.

Pengurus pasukan, Nik Razeen A Daud berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan undian berkenaan kerana dapat mengagak berdasarkan format undian Malaysia tidak berada satu kumpulan dengan Singapura.

“Keputusan undian tidak mengejutkan kerana tidak banyak negara menyertai acara skuasy, lagipun kita pasukan terbaik Asia Tenggara.

“Sekarang terpulang kepada pemain dan jurulatih untuk mengatur strategi.

“Mereka hanya perlu fokus dengan latihan dan lawan mereka, tidak perlu fikir mengenai undian ini. Kita juga lebih banyak memantau prestasi negara lain berbanding mereka pantau kita,” katanya selepas majlis undian acara skuasy.

Nik Razeen, yang juga Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), berkata pasukan negara optimis untuk memenangi emas dalam semua tujuh acara yang disertai.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam acara jumbo beregu wanita dan jumbo beregu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 5:51 PM