AMIR Amri (dua dari kiri) percaya dengan kehadiran Cocker dapat memantapkan lagi persiapan skuad negara.
AMIR Amri (dua dari kiri) percaya dengan kehadiran Cocker dapat memantapkan lagi persiapan skuad negara.
BERNAMA

BAGI membentuk pasukan mantap untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad ragbi tujuh sebelah (7’s) negara mendapatkan khidmat bekas ketua pasukan New Zealand 7’s Edwin Cocker sebagai jurulatih taktikal.

Cocker yang pernah menjuarai lima World Rugby Seven Series bersama pasukan All Black 7’s terbabit membantu kedua-dua skuad lelaki dan wanita dalam usaha memenangi pingat pada temasya sukan edisi ke-29 itu.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohamad berkata, Cocker terbabit secara langsung dalam skuad ragbi kebangsaan sejak November lalu dan beberapa kali datang ke Malaysia.

“Beliau turut terbabit dalam pemilihan pemain bagi skuad lelaki dan wanita. Kami juga pernah membawa skuad lelaki untuk sesi latihan di Auckland selama dua minggu bersama Edwin. Semua maklumat pemain akan dihantar terus kepada beliau termasuk maklumat dan keputusan ujian Institut Sukan Negara untuk dinilai,” katanya hari ini.

Jelasnya, Cocker akan membantu skuad ragbi hingga selesai temasya dwitahunan itu dan seterusnya melatih skuad ragbi tujuh sebelah lelaki negara untuk bertanding di Asia Rugby Sevens Series di Hong Kong pada 1 dan 2 September depan.

Sementara itu, Cocker berkata, Thailand dan Filipina menjadi pencabar utama kepada skuad ragbi wanita manakala bagi lelaki, Filipina menjadi pencabar terdekat berikutan naturalisasi pemain yang dilakukan pasukan ragbi negara itu.

“Thailand dan Filipina adalah pencabar utama bagi pasukan wanita kerana mereka menduduki ranking lebih tinggi serta prestasi baik. Mereka juga memiliki beberapa pemain berpengalaman yang sudah lama berkecimpung dalam sukan ini. Bagi pasukan lelaki, pencabar terdekat adalah Filipina. Mereka mempunyai pemain naturalisasi dan amat berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, penampilan ramai pemain muda pada temasya kali ini dapat melahirkan lebih ramai pemain ragbi terbaik pada masa depan seterusnya membantu negara meraih lebih banyak kejayaan dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 2:05 PM