BARRY (kanan) setuju dengan kontrak setahun bersama West Brom.
AFP

WEST Bromwich Albion mengikat bekas pemain tengah England, Gareth Barry dari Everton dengan bayaran yang tidak didedahkan, semalam.

Barry bersetuju dengan kontrak setahun bersama Baggies selepas dia diberitahu boleh meninggalkan Goodison Park berikutan tindakan Everton berbelanja sakan membeli pemain pada musim panas kali ini.

Pemain berusia 36 tahun itu terlepas aksi pertama Everton dalam Liga Perdana Inggeris menentang Stoke, Sabtu lalu kerana kecederaan buku lali, namun dia berharap mampu kembali beraksi buat kelab barunya tidak lama lagi.

“Saya mahu hadir dan membantu pasukan. Itulah yang sering saya lakukan di mana saja saya bermain,” kata Barry.

“Saya mahu membantu pasukan ini meningkat, bekerja keras dan harapnya menyuntik kualiti.”

Barry, bekas pemain tengah Aston Villa dan Manchester City, sudah melakukan 628 penampilan dalam Liga Perdana.

Barry perlu tampil hanya lima perlawanan lagi bagi mengatasi rekod bekas pemain sayap Manchester United, Ryan Giggs sebagai pemain dengan penampilan paling banyak sepanjang zaman dalam liga itu.

Bos Albion, Tony Pulis mencari pengganti Darren Fletcher di bahagian tengah selepas pemain itu menyertai Stoke baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 8:04 AM