Nixson Kennedy (kiri) dan Muhammad Haiqal Hanafi bersaing merebut tempat dalam kuartet 4x100m negara. - Foto Fail
Saiful Affendy Sapran


UJIAN masa kali ketiga terpaksa dilakukan esok, bagi memilih antara Nixson Kennedy dan Muhammad Haiqal Hanafi untuk melengkapkan kuartet 4x100m negara selepas kedua-duanya mempamer prestasi seimbang dalam ujian sebelum ini.

Ketua jurulatih skuad olahraga negara Zainal Abas berkata, ujian masa ketiga itu perlu dilakukan selepas kedua-dua pelari menunjukkan persaingan sengit ketika ujian masa pertama dan kedua.

“Ujian pertama, Nixson dilihat mempunyai kelebihan namun Haiqal pula menunjukkan kebolehannya pada percubaan kedua.

“Jadi kami terpaksa melakukan satu lagi percubaan untuk memilih antara Nixson dan Haiqal,” katanya.

Ujian itu dilakukan barisan jurulatih dan Institut Sukan Negara (ISN).

Sekiranya terpilih, sama ada Nixson atau pun Haiqal akan menyertai tiga atlet yang sudah terpilih iaitu Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap serta Jonathan Nyepa.

Kuartet 4x100m disertaj Haiqal, Jonathan, Badrul dan Khairul berjaya mencatat rekod baru kebangsaan dengan catatan masa 39.62s di Terbuka Vietnam di Ho Chi Minh bulan lalu.

Zainal bagaimanapun berkata, siapa yang akan terpilih nanti belum terjamin untuk berlari di KL2017 kerana pihaknya mempunyai masa untuk menamakan empat pelari terbaik dalam tempoh satu atau dua jam sebelum saingan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 7:48 PM