SINCLAIR jaring dua gol bantu Celtic benam Astana.
AFP

CELTIC semakin hampir memastikan tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas dua gol Scott Sinclair membantu pasukan itu membelasah Astana 5-0 pada aksi pertama play-off di Glasgow, awal pagi tadi.

Gol sendiri Evgeni Postnikov membuka tirai jaringan pada minit ke-31 sebelum Sinclair menggandakan kelebihan Celtic 10 minit kemudian.

Pemain sayap England itu kemudian meraih gol keenamnya musim ini selepas sejam sebelum James Forrest menokok satu lagi gol pada minit ke-79.

Satu lagi gol sendiri menyaksikan Igor Shitov tertampan masuk percubaan Leigh Griffiths dua minit sebelum tamat ketika juara Scotland itu meraih kelebihan besar untuk dibawa ke Kazakhstan bagi aksi timbal balik minggu depan.

Ia suntikan semangat buat anak buah Brendan Rodgers yang kini makin hampir meraih tempat ke peringkat kumpulan yang menawarkan pendapatan lumayan buat musim kedua berturut-turut.

“Ia satu persembahan sepasukan yang menakjubkan dan pemain berhak dipuji. Mereka menangani perlawanan ini dengan amat bagus,” ujar pengurus Celtic itu.

“Kami menjaringkan lima gol dan terlepas satu atau dua lagi. Untuk melakukannya di peringkat pertandingan ini membuktikan kehebatan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 7:49 AM