PANCURAN bunga api ketika raptai penuh majlis pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.
BERNAMA

UPACARA pembukaan rasmi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Sabtu ini, bakal menyuntik inspirasi dan terpahat di ingatan bagi meraikan perpaduan rantau Asia Tenggara.

“Kami janjikan sesuatu yang berkesan, menggunakan teknologi terkini. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan saya berharap orang ramai akan terhibur,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, perarakan 11 bendera negara Sukan SEA bermula 8 malam diikuti perarakan kontinjen dan atlet serta disusuli upacara mengibarkan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan KL2017.

“Bendera (SEAGF dan KL2017) akan dibawa masuk legenda sukan negara,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata jaguh silat Mohd Al-Jufferi Jamari, pelumba trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan penerjun negara Cheong Jun Hoong masing-masing akan membawa Jalur Gemilang.

Pembukaan rasmi KL2017 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, diikuti upacara membaca ikrar atlet oleh jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa.

Tarikan utama ialah persembahan istimewa selama 20 minit dengan tema, ‘Bangkit Bersama’ dan ‘Terbaik Malaysia’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 Malaysia.

Seramai 6,000 orang terbabit dalam persembahan yang turut membabitkan penghibur, sukarelawan, kanak-kanak dan angkatan tentera.

Sementara itu, Khairy menggesa mereka yang menghadiri upacara pembukaan tiba sekurang-kurangnya dua jam lebih awal untuk mengelak kesesakan dan pintu stadium dibuka pada 4 petang.

Orang ramai juga digalak menggunakan pengangkutan awam terutama Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) memandangkan semua jalan sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur akan ditutup.

KUALA LUMPUR 17 AUGUST 2017. Pancuran Bunga api ketika raptai penuh majlis pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:50 PM