ROBERTSON (kiri) berjaya buat Klopp kagum dengan aksinya.
ROBERTSON (kiri) berjaya buat Klopp kagum dengan aksinya.
AFP

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menyatakan Andrew Robertson bersedia melakukan penampilan sulung pada pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace malam esok ketika kemelut perpindahan Philippe Coutinho masih belum selesai.

Robertson tiba dari Hull bulan lalu namun pertahanan kiri Scotland itu masih belum tampil dalam perlawanan kompetitif sejak berpindah dengan harga £10 juta (RM55 juta).

Pertahanan Sepanyol, Alberto Moreno menjadi pilihan utama Klopp di posisi pertahanan kiri setakat ini namun pengendali dari Jerman itu kagum dengan sikap Robertson sejak ketibaannya.

“Semuanya OK dengannya. Dia bagus ketika ini dan perkembangannya setakat ini bagus, dia sudah menyesuaikan diri dengan baik,” ujar Klopp.

“Dia seorang pemain yang bagus tapi itulah sebenarnya bagi pakar pertahanan kiri, ia sukar, anda bermain atau tidak berada dalam skuad langsung.

“Dia berada di landasan yang baik dan pada pandangan saya semuanya bagus mengenainya. Masih terlalu awal, dia tampil lewat dan dia terpaksa menyesuaikan diri dengan corak permainan kami.

“Peraturannya jika anda berlatih dengan amat bagus, bekerja keras, meningkat dan berkembang, setiap perkara akan bagus akhirnya.”

Klopp berkata, beliau teruja berdepan perlawanan pertama Liverpool di Anfield musim ini sekalipun menentang pasukan Palace yang sering menyukarkan pasukannya sebelum ini.

“Saya tidak sabar menanti perlawanan di Anfield,” kata Klopp.

“Sudah agak lama kami tidak bermain di sana dan itulah tempat kami, tempat yang mana kami mahu bermain, kami mahu berada terutamanya selepas dua perlawanan pertama ini. Kami sudah membuktikan kami bersedia sekali lagi.”

Liverpool mendapat suntikan semangat selepas penyerang England, Daniel Sturridge pulih daripada kecederaan paha dialaminya ketika pramusim namun mereka tampil tanpa Coutinho, yang mahu berpindah dengan Barcelona mempamerkan minat mendalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 10:03 AM