WATANYA mahu pasukannya usah goyang di depan pintu gol lawan.
BERNAMA

BERMULA goyah dalam dua perlawanan awal, pengurus pasukan bola sepak Thailand Bawah-23 (B-23) Watanya Wongopasi percaya pasukannya berada di landasan betul untuk mempertahan pingat emas.

Bercakap kepada pemberita selepas kemenangan 1-0 ke atas Timor Leste malam tadi, beliau berkata jentera penyerang Thailand hanya perlu lebih yakin di depan pintu gol lawan.


PEMAIN Thailand, Sittichok Kannoo (tengah) bersaing dengan pemain Timor Leste, Kornelis Nahak (kanan) di Stadium Selayang.

Mengenai peluang pasukan itu melangkah ke separuh akhir, Watanya optimis pintu masih terbuka walaupun pasukannya kini berada di kedudukan ketiga dengan empat mata di belakang Indonesia dan Vietnam (enam mata) dalam Kumpulan B.

Beliau menambah, misi utama pasukan Thailand ialah meraih pingat emas hatrik dan optimis anak buahnya terutama di bahagian serangan berupaya melakukan yang terbaik dalam tiga lagi baki perlawanan menentang Kemboja (20 Ogos), Filipina (22 Ogos) dan Vietnam (24 Ogos).

“Kami masih mempunyai tiga lagi perlawanan dan saya fikir kami bakal mengutip mata penuh daripada perlawanan itu.

“Kami mahu memasuki separuh akhir selaku juara kumpulan untuk mencerahkan peluang membawa pulang pingat emas untuk kali ketiga bagi Thailand,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 3:41 PM