KHIDMAT Yusoff (tengah) menerajui kem chinlonedengan meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa, mengatasi sasaran.
KHIDMAT Yusoff (tengah) menerajui kem chinlonedengan meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa, mengatasi sasaran.
Naqib Nor Said


PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) berminat menyambung kontrak jurulatih dari Myanmar, Mohd Yusoff Abdullah dan Ahmad Ezzat Zaki selepas berpuas hati dengan pencapaian skuad chinlone negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mohd Yusoff dan Ahmad Ezzat yang kontrak mereka berakhir hujung September ini merajui kem chinlone Malaysia untuk meraih satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa, mengatasi sasaran.

Justeru, presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, tidak menolak kemungkinan akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengekalkan khidmat kedua-dua mereka.

“Kita hanya sasar satu emas dan dua gangsa daripada chinlone. Tidak sangka dapat bonus satu perak.

“Kita percaya kehadiran mereka begitu penting dalam usaha kita membuat persiapan lebih rapi bagi Sukan SEA 2019 kerana kedua-dua mereka komited menggalas tanggungjawab,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, kontrak Mohd Yusoff dan Ahmad Ezzat mula diikat PSM sejak Jun tahun lalu.

Sambil mengakui kehadiran jurulatih terbabit memberi kelebihan kali ini, Ahmad bagaimanapun menolak andaian untuk mengikat jurulatih terbabit secara tetap.

“Memang banyak peningkatan ditunjukkan pemain terutama dalam acara satu yang menyaksikan kita memenangi pingat perak, di Singapura dulu kita hanya mengumpul 197 mata tetapi kali ini meningkat hingga 300 mata.”

Dalam perkembangan lain, Ahmad berjanji ganjaran lumayan menanti pemain chinlone dan sepak takraw yang berjaya meraih pingat pada temasya ini selepas berbelanja RM103,000 untuk imbuhan bagi edisi di Singapura 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 4:11 PM