X
Pemain Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Myanmar 5-4 aksi futsal lelaki di Stadium Panasonic Shah Alam, malam ini. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Pemain Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Myanmar 5-4 aksi futsal lelaki di Stadium Panasonic Shah Alam, malam ini. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim & Syafiq Aznan


"SAYA gembira kami dapat bangkit namun tak gembira dengan cara kami bermain," kata jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong selepas skuad kendaliannya terpaksa bangkit dua kali untuk menumbangkan Myanmar 5-4 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Myanmar mendahului seawal minit kedua menerusi ketua pasukannya, Aung Aung sebelum Malaysia bangkit mengejar dengan dua gol hasil sumbangan Muhamad Azri Rahman (m-6) dan Akmarulnizam Mohd Idris (m-8).

Bagaimanapun, kelekaan pertahanan negara dimanfaatkan pelawat yang meledak tiga gol berturut-turut untuk mendahului 2-4.

Namun, Malaysia kembali garang pada 10 minit terakhir yang menyaksikan Khairul Effendy Mohd Bahrin mengurangkan defisit pada minit ke-31 dan Muhammad Azri mengikat kedudukan tiga minit berselang.

Syed Aizad Daniel Syed Nasir melengkapkan kebangkitan Malaysia dengan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki lima minit.

"Masalah kami dari awal ialah pemain gagal menyerap tekanan apabila diserang bertubi-tubi.

“Apabila tidak mampu menyerap tekanan anda boleh lihat kami dihukum dengan gol-gol mudah Myanmar, walaupun sebenarnya jaringan berkenaan mampu dihalang," katanya.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu mengakui beliau tidak panik ketika Myanmar mendahului sebaliknya percaya dengan kemampuan pemain untuk bangkit.

"Oh yaa.. saya tetap percaya dengan mereka. Berdasarkan aksi persahabatan dan beberapa kejohanan yang kami tempuhi sebelum ini, saya yakin kami mampu mengejar lawan," ujarnya.

Selepas ini, Malaysia akan menentang Vietnam pada aksi kedua yang dijadualkan berlangsung esok malam di venue yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 10:52 PM
Digital NSTP Subscribe