Pemain Malaysia, Muhamad Firdaus Tarmizi (kanan) bersaing dengan pemain Singapura ketika perlawanan Ragbi 7 Sebelah Lelaki di Stadium MBPJ. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Pemain Malaysia, Muhamad Firdaus Tarmizi (kanan) bersaing dengan pemain Singapura ketika perlawanan Ragbi 7 Sebelah Lelaki di Stadium MBPJ. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Ferzalfie Fauzi dan Farah Azharie


TIGA kemenangan berturut-turut yang dicatat skuad ragbi tujuh sebelah lelaki negara, termasuk menundukkan pemegang pingat emas Filipina, hari ini, membuka laluan cerah untuk pingat emas.

Ketua pasukan, Zulkiflee Azmi, berkata pasukannya kini bertambah yakin untuk meraih emas, terutama selepas berjaya menundukkan penyandang juara, Filipina 24-14.

“Kami perlu fokus untuk aksi terakhir menentang Thailand dan Indonesia bagi memenangi emas.

“Beraksi di tempat sendiri satu kelebihan dengan penyokong banyak membantu menaikkan moral dan keyakinan,” katanya.

Zulkiflee yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, mahu rakan sepasukan terus kekalkan momentum dan memperbaiki segala kesalahan menjelang baki perlawanan pusingan awal sebelum mara ke aksi final

Malaysia membelasah Kemboja 51-0 sebelum menundukkan Singapura 12-10 menumpaskan Filipina 24-14.

“Paling penting kami berjaya menebus kekalahan aksi akhir dua tahun lalu ke atas Filipina,” kata Zulkiflee.

Pasukan negara akan menghadapi cabaran Thailand dan Indonesia sebelum boleh mengesahkan tempat ke final.

Sementara itu, skuad ragbi wanita tidak begitu memberangsangkan namun ketua pasukannya, Normasyirah Zahari, menegaskan masih belum berputus asa walaupun hanya mencatat satu kemenangan ke atas Laos 36-0, tumpas di tangan Singapura 0-15 serta Thailand 5-38.

Skuad ragbi wanita negara akan menentang Filipina esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 5:43 PM