Pemain boling negara ketika latihan rasmi di Sunway Megalanes, hari ini. - Foto DANIAL SAAD
Ajitpal Singh


“TEWASKAN kami jika anda mampu!,” kata ketua jurulatih boling negara Holloway Cheah ketika ditanya sama ada Malaysia mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan di Sukan SEA kali ini.

Dalam sesi latihan di Sunway Mega Lanes hari ini, semua 12 atlet boling negara sudah mula menyesuaikan diri dengan lorong menjelang saingan individu lelaki dan wanita bermula esok.

“Kesemua 12 atlet (enam lelaki dan enam wanita) adalah yang terbaik pernah saya kumpulkan sejak mula melatih pasukan kebangsaan pada 2000.

“Saingan pembukaan paling sukar dalam kejohanan. Saya sering ingatkan atlet supaya sentiasa bermain pada tahap terbaik dan keputusan akan hadir selagi mereka bermain dengan baik.

“Perkara lain serahkan kepada saya, tanggungjawab saya pastikan mereka beraksi pada 100 peratus,” katanya.

Acara individu wanita dijangka menampilkan saingan sengit antara juara Jelajah Persatuan Pemain Bowling Wanita Profesional (PWBA) dari Malaysia dan Singapura.

Dua wakil negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memenangi Jelajah PWBA Terbuka Wichita manakala Sin Li Jane mengungguli Terbuka Lincoln, Jun lalu.

Jazreel Tan dari Singapura pula memenangi Terbuka Lubbock Sports pada 2015, diikuti Bernice Lim di USBC Queens, Cherie Tan di Terbuka Sacramento dan New Hui Fen di Terbuka Smithfield – semuanya diraih tahun lalu.

Kali terakhir emas perseorangan wanita dimenangi Malaysia ialah menerusi Shalin Zulkifli di Kuala Lumpur pada 2001.

Siti Safiyah dan Sin Li Jane ketika ini menerajui pasukan wanita, tetapi kehadiran Shalin, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi serta juara dunia dua kali, Esther Cheah, mampu menggentarkan mana-mana lawan di rantau ini.

Dalam acara perseorangan lelaki, Thailand dan Indonesia mempunyai kelebihan berbanding pasukan pasukan lain.

Juara bertahan Rafiq Ismail mengetuai cabaran negara yang turut menampilkan Alex Liew, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Timmy Tan.

“Singapura cukup serius dalam kejohanan ini. Mereka mempunyai barisan jurulatih paling ramai, malah turut mengambil bekas jurulatih Malaysia Sid Allen sebagai penasihat,” kata Holloway.

Sebanyak 11 pingat emas ditawarkan bagi sukan boling.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 8:33 PM