PULISIC (dua dari kiri) meraikan gol pembukaan bersama rakan sepasukan.
AFP

PEMAIN remaja Christian Pulisic meledak dan mencipta satu gol ketika dia menggantikan pemain yang mahu berpindah ke Barcelona, Ousmane Dembele sekali gus mencetus kemenangan 3-0 Borussia Dortmund ke atas Wolfsburg dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.

Dembele, 20, cuba memaksa Dortmund menjualnya kepada kelab gergasi Sepanyol itu apabila memboikot latihan dan sesudah digantung, dia terlepas aksi pembukaan kelabnya dalam musim baru liga Jerman.

Pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc mengesahkan Dembele akan menyertai Barcelona pada jendela perpindahan kali ini jika mereka menepati harga diminta 130 juta euro (RM656 juta).

“Kami berada di posisi jelas ketika ini. Jika bayaran ini ditepati, maka dia akan berpindah pada musim panas ini,” kata Zorc.

“Jika tidak dia akan kekal bersama kami, mudah saja.”

Pulisic hanya akan berusia 19 tahun bulan depan namun pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu bertindak baik beraksi di tempat Dembele di sayap kanan.

Dia merembat masuk gol pertama Dortmund pada minit ke-23 dalam gerakan membabitkan pemenang Piala Dunia Jerman, Mario Goetze, yang kembali selepas tujuh bulan berehat kerana gangguan metabolisme.

“Saya berasa sihat kembali tapi masih sukar untuk betul-betul 100 peratus cergas,” kata Goetze.

Dortmund menggandakan kedudukan apabila bekas pertahanan Barcelona, Marc Bartra melakukan sepakan lencong menarik pada minit ke-27.

Pulisic kemudiannya melengkapkan persembahan cemerlang apabila mengumpan kepada Pierre-Emerick Aubameyang yang menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:39 AM