SYAFIQ (kanan) dan Eain Yow berlatih untuk persediaan Sukan SEA.
BERNAMA

PEMAIN skuasy negara, Syafiq Kamal percaya keserasian beraksi bersama Ng Eain Yow mampu membuahkan hasil pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Gandingan mereka semakin menunjukkan persefahaman apabila menempatkan diri dalam kedudukan ke-11 daripada 20 beregu keseluruhan ketika menyertai Kejohanan Skuasy Beregu Dunia di Manchester awal bulan ini.

Syafiq sekali lagi bergandingan dengan Eain Yow di KL2017 dalam acara beregu lelaki, yang kali pertama dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu, mengakui sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan pemburuan pingat emas seperti disasarkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

“Persiapan memang bagus kerana kami sudah memulakan latihan sejak awal tahun lagi. Kami juga sudah mengesan kelemahan yang ada sejak minggu lalu dan saya boleh katakan kami memang sudah bersedia.

“Sebelum ini memang saya belum pernah beraksi dalam acara beregu tapi saya fikir tidak ada masalah bergandingan dengan Eain Yow,” katanya.

Selain acara beregu, Syafiq juga akan bertanding dalam acara perseorangan.

Malaysia selaku kuasa besar dalam sukan skuasy di Asia Tenggara, menyasarkan tujuh daripada sembilan pingat emas yang dipertandingkan.

Untuk edisi kali ini, Malaysia menyertai acara perseorangan, beregu, beregu campuran dan berpasukan, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita, bagaimanapun tidak menyertai acara jumbo (lelaki dan wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 12:10 PM