DHABITAH diterbangkan untuk menyalakan Obor temasya pada Majlis perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukti Jali.
DHABITAH diterbangkan untuk menyalakan Obor temasya pada Majlis perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukti Jali.
Ajitpal Singh


LATIHAN berterusan menjadikan semuanya sempurna buat Nur Dhabitah Sabri apabila berjam-jam dihabiskan di platform ternyata berharga pada majlis pembukaan Sukan SEA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Dhabitah mencipta sejarah muncul atlet pertama wanita negara menyalakan api obor yang menjadi kemuncak majlis pembukaan itu.

Atlet berusia 18 tahun itu mendedahkan dia gementar ketika menyalakan api obor itu.

“Saya berasa seperti seorang ‘Superwoman.’ Ia satu penghormatan dipilih sebagai atlet terakhir membawa obor itu,” kata Dhabitah.

“Peluang itu turut membolehkan saya bertemu ramai legenda sukan negara ketika majlis pembukaan.”

Dhabitah, yang beraksi dalam acara akhir 10m platform wanita pada Sukan Olimpik Rio tahun lalu berkata, dia tidak memberitahu ibu bapanya dia akan menyalakan api obor itu.

“Saya tidak boleh beritahu mereka kerana ia satu rahsia. Ibu bapa saya, yang berada di stadium, pasti terkejut apabila melihat saya terapung di udara,” katanya.

Dhabitah teruja dan bersedia memenangi pingat emas sukan terjun yang bermula 26 Ogos ini.

Dia akan bergandingan dengan penyandang juara dunia 10m platform individu Cheong Jun Hoong dalam acara 3m papan anjal seirama.

Dhabitah turut menyertai acara 10m platform dan 3m papan anjal individu.

“Saya sudah menang pingat emas dalam acara seirama bagi dua Sukan SEA terdahulu, tapi tidak berjaya dalam acara individu. Saya akan mencuba yang terbaik kali ini,” ujarnya.

Dhabitah menang emas acara platform seirama pada edisi 2013 di Myanmar bersama Leong Mun Yee dan mengulangi pencapaian itu dalam acara papan anjal seirama di Singapura dua tahun lalu bersama Wendy Ng.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:23 PM