LI Jane (kiri) memenangi pingat perak, manakala Shalin (kanan) meraih gangsa bersama Shi Hua di Sunway Megalanes.
Fabian Peter


PENANTIAN Malaysia bagi pingat emas perseorangan wanita pada Sukan SEA berterusan apabila pemain bowling Sin Li Jane dan Shalin Zulkifli sekadar meraih pingat perak dan gangsa selepas pertandingan akhir di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Juara edisi 2011 Cherie Tan dari Singapura merampas semula pingat emas dengan persembahan mengagumkan apabila mengumpul 1,413 jatuhan pin selepas menamatkan aksi enam permainan.

Kemenangan itu lebih manis buat pemain Singapura itu yang terpaksa menyerahkan pingat gangsa pada edisi terdahulu di Singapura dua tahun lalu selepas tuan rumah meraih pingat emas dan perak.

Li Jane, yang turut berakhir di tangga kedua di belakang Cherie di Palembang, kali ini mengumpul jumlah 1,300 jatuhan pin manakala Shalin, pemain terakhir negara memenangi acara perseorangan wanita 16 tahun lalu, mencatat 1,297 jatuhan pin.

“Saya tidak melakukan balingan dengan baik pada awalnya tapi Shalin dan saya membantu antara satu sama lain pada hujung aksi.

“Ini Sukan SEA ketiga saya sejak Palembang yang mana saya hampir menang emas tapi kalah dengan hanya satu pin.

“Saya berdoa kami akan terus meningkat dalam acara selepas ini,” kata Li Jane, pemain berusia 25 tahun dari Perak, yang turun dalam acara beregu wanita esok.

Jurulatih kebangsaan Holloway Cheah kurang berpuas hati namun yakin Malaysia akan meraih pingat emas selepas ini.

“Saya tak kata saya gembira kerana kami amat berharap untuk memenangi pingat emas. Kami tidak hadir ke sini untuk meraih pingat perak atau gangsa tapi pemain tidaklah bertindak teruk sangat, cuma kami menjangkakan keputusan yang lebih baik dicatat.”

Pada esidi terdahulu, Malaysia muncul juara keseluruhan dalam sukan bowling dengan lima emas, satu perak dan empat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:28 PM