PENGGUNA digalakkan guna mod tanpa tunai. -Foto fail
BERNAMA

ORANG ramai yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel Rapid KL untuk ke venue Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) khususnya Stadium Nasional Bukit Jalil, dinasihat menggunakan mod tanpa tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman dalam kenyataan hari ini, berkata mereka boleh menggunakan kad MyRapid Touch ‘n Go (TnG) atau sebarang kad TnG yang mempunyai nilai mencukupi agar perjalanan lancar.

Menurut Zohari, penggunaan perkhidmatan LRT, MRT dan monorel menjimatkan susulan diskaun 50 peratus ditawarkan kepada semua pengguna sehingga akhir bulan ini.

“Sekiranya perlu memberi token, mereka disaran membeli token berasingan untuk pergi dan balik supaya tidak perlu beratur di mesin pembelian tiket ketika mahu pulang,” kata beliau.

Menurut Zohari, 45,368 penumpang menggunakan kad TnG dan token melalui pintu automatik LRT untuk ke Stadium LRT Bukit Jalil semalam, bagi menyaksikan upacara pembukaan rasmi temasya KL2017.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk 7,198 sukarelawan dan petugas yang dibenarkan menggunakan perkhidmatan LRT secara percuma.

RapidKL yang menyediakan perkhidmatan rel LRT, MRT dan monorel serta bas ganti-ganti adalah penyedia pengangkutan rasmi KL2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:31 PM