RAMOS (kanan) terima kad kuning kerana menampar muka Schar.
AFP

MADRID: Rentetan kemenangan Real Madrid seolah-olah tidak berakhir apabila juara Eropah itu memulakan kempen mempertahankan kejuaraan La Liga Sepanyol dengan kemenangan selesa ke atas Deportivo la Coruna di gelanggang lawan.

Gareth Bale (minit ke-20), Casemiro (m-26) dan Toni Kroos (m-62) menjaringkan gol buat pelawat namun malam Madrid di La Riazor berakhir dengan nada mengecewakan apabila kapten Sergio Ramos dilayangkan kad merah ke-23 dalam kariernya bersama Real.

“Jelas saya tidak gembira dengan apa yang berlaku terhadap Sergio,” kata bos Madrid, Zinedine Zidane.

“Saya tidak suka melihat pemain saya dibuang padang tapi kami tidak boleh mengubahnya sekarang.”

Ramos sepatutnya disingkirkan lebih awal pada babak kedua apabila dia hanya menerima kad kuning kerana menampar muka pertahanan Deportivo, Fabian Schar.

Bagaimanapun, dia berkongsi rekod dengan 18 kad merah dalam La Liga dengan kad kuning kedua selepas menyiku Borja Valle pada masa kecederaan.

“Secara umum kami boleh berpuas hati dengan persembahan kami,” ujar Zidane.

“Ia bukannya tempat yang mudah untuk bermain dan mereka juga berpeluang menjaringkan gol.”

Pencabar utama Real, Barcelona membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Real Betis di Nou Camp, yang mana pemain memakai lilitan lengan hitam sebagai tanda berkabung apabila 14 terbunuh dan sekitar 120 cedera di Las Ramblas berikutan serangan pengganas minggu lalu. Perkataan ‘Barcelona’ juga menggantikan nama individu di belakang jersi pemain.

Tuan rumah menang menerusi gol sendiri Alin Tosca pada minit ke-36 dan rembatan Sergi Roberto dua minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:55 AM