Pemain Malaysia, Muhd Safawi Rasid bersama rakan sepasukan meraikan jaringan keduanya ketika bertemu Myanmar dalam perlawanan Kumpulan A bola sepak Sukan SEA di Stadium Shah Alam. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Pemain Malaysia, Muhd Safawi Rasid bersama rakan sepasukan meraikan jaringan keduanya ketika bertemu Myanmar dalam perlawanan Kumpulan A bola sepak Sukan SEA di Stadium Shah Alam. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohamad Zulfaizan Mansor


MALAYSIA mengesahkan tempat ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan Myanmar 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berkongsi sembilan mata dengan Myanmar yang berada di tangga teratas Kumpulan A.

Malaysia bermula sedikit perlahan namun selepas 25 minit perlawanan, Malaysia mula menemui rentak dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya terutama sepakan percuma menarik Irfan Zakarian namun ditepis penjaga gol, Sann Sat Naing.

N Thanabalan menceriakan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya apabila menampan masuk bola sepakan Matthew Davies pada minit ke-34.

Hanya seminit selepas itu, Stadium Shah Alam gamat dengan sorakan penyokong Harimau Malaya apabila Safawi Rasid meledak gol kedua Malaysia selepas menanduk masuk bola hantaran S Kumaahran.

Myanmar cuba bangkit memburu gol penyamaan sebaik bersambung babak kedua tetapi gagal menemui penyudah termasuk rembatan Si Thu Aung dari luar kotak penalti pada minit ke-55 yang melepasi palang gol.

Thanabalan hampir meledak gol kedua peribadi pada perlawanan itu, namun rembatan derasnya pada minit ke-59 berjaya diselamatkan Sat Naing.

Lapan minit sebelum tamat permainan, Thanabalan menebus kekecewaan apabila menanduk masuk bola hantaran silang Muhammad Jafri Firdaus Chew untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-0.

Myanmar berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-86 menerusi pemain gantian, Than Paing namun sudah terlambat untuk mereka sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 11:00 PM