VICTORIA tarik diri Terbuka AS.
VICTORIA tarik diri Terbuka AS.
AFP

NEW YORK: Naib juara Terbuka Amerika Syarikat dua kali, Victoria Azarenka mengesahkan menarik diri daripada kejohanan itu semalam berikutan perebutan hak penjagaan anak lelakinya yang berusia lapan bulan.

Victoria, yang membayangkan minggu lalu dia mungkin terlepas kejohanan itu kerana tidak mahu berkunjung ke New York tanpa anak lelakinya Leo, mengesahkan penarikan dirinya dalam satu kenyataan.

“Saya sedih dan kecewa kerana tidak dapat bertanding pada Terbuka AS tahun ini kerana situasi keluarga yang perlu saya tangani,” kata bintang Belarus itu.

“Ketika saya rasa rindu terlepas berada di New York dan bermain satu daripada kejohanan kegemaran saya yang mana saya menikmati beberapa saat terbaik dalam karier, saya sudah bersedia untuk kembali tahun depan.”

Pemain Belarus itu layak ke final pada 2012 dan 2013 apabila dia ditewaskan Serena Williams dalam kedua-dua final.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata minggu lalu, dia akan menarik diri daripada bertanding di Flushing Meadows kerana tidak mahu berpisah dengan bayinya.

Ia hadir selepas hakim Los Angeles mendengar kes hak penjagaan bersama bapa anak lelakinya itu, Billy McKeague, menyatakan anaknya itu tidak boleh meninggalkan California hingga kes itu selesai.

Victoria, pemain ranking ke-204 dunia sesudah berehat lama kerana hamil dan selepas melahirkan anak lelakinya itu, bermain di Wimbledon bulan lalu, layak ke pusingan 16 terakhir sebelum kecundang di tangan pemain nombor dua dunia Simona Halep.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 10:40 AM