JACK Chang beraksi pada acara final wushu kategori tajiquan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Syafiq Aznan


LATIHAN keras yang dilakukan sebelum ini menyebelahi atlet wushu negara Loh Jack Chang apabila dia menamatkan aksinya dengan merangkul dua pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet berusia 30 tahun itu merangkul emas dalam acara Taijiquan lelaki di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini, sekali gus membuktikan kemampuannya semakin meningkat selepas mengungguli acara Taijijian, semalam.

Kejayaan terbabit membantu skuad wushu menepati sasaran mereka untuk memenangi enam emas pada temasya dwitahunan itu.

“Kejayaan ini memang manis kerana kali pertama saya memenangi dua emas dalam satu temasya Sukan SEA.

“Saya boleh anggap temasya Sukan SEA 2017 sebagai antara pencapaian terbaik dalam hidup saya.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua pihak yang membantu saya menjadikan ini sebagai satu kenyataan,” katanya.

Atlet kelahiran Miri itu terlalu unggul apabila meraih catatan 9.66 mata dalam acara Taijiquan, jauh meninggalkan atlet Singapura Tan Wei Han Samuel yang mencatat 9.52 mata untuk perak sementara Htet Min Khant dari Myanmar meraih gangsa dengan catatan 9.36 mata.

Jack Chang antara atlet paling menyerlah pada temasya kali ini selepas mencatat rekod sempurna dengan menggondol dua emas daripada dua acara yang disertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 12:35 PM