KHAIRY Jamaluddin, harap permohonan maaf diterima rakyat Indonesia. -Foto NSTP

MALAYSIA sudah meminta maaf dan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan isu bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderamata khas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata Jawatankuasa Pengelola Malaysia 2017 (MASOC) sudah mencetak buku cenderamata baharu bagi menggantikan buku lama yang mencetuskan kontroversi itu.

“Malaysia sudah memohon maaf secara rasmi dan saya juga sudah berbuat demikian. Kita juga sudah menarik balik buku berkenaan dan menggantikannya dengan yang baharu serta serahkan semula kepada pasukan Indonesia.

“Kita sudah lakukan apa yang termampu bagi menyelesaikan masalah ini namun kita tidak boleh kawal tingkah laku peminat negara lain,” katanya di Putrajaya, mengulas tindakan segelintir rakyat Indonesia membakar bendera Jalur Gemilang membantah insiden bendera republik terbabit dicetak terbalik dalam buku cenderamata KL2017.

Media melaporkan Presiden Indonesia, Joko Widodo, memaafkan Malaysia mengenai kejadian itu dan berharap rakyat Indonesia tidak memberi reaksi berlebihan untuk kesilapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 8:38 PM