HOEDT pembelian ketiga Southampton sejak hujung musim lalu.
AFP

LONDON: Southampton mengikat pertahanan Belanda, Wesley Hoedt dari Lazio dengan bayaran dilaporkan £15 juta (RM82 juta), semalam.

Hoedt bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu dan akan tiba di St Mary’s sebagai pengganti potensi rakan senegaranya Virgil van Dijk.

Van Dijk menjadi sasaran Liverpool dan Chelsea, namun Saints menegaskan dia tidak akan dijual, sekalipun pemain pertahanan tengah itu masih belum menyertai latihan pasukan utama di bawah pengurus baru Mauricio Pellegrino.

Hoedt memulakan karier di AZ Alkmaar di negara kelahirannya sebelum berpindah ke Lazio pada 2015.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang melakukan penampilan sulung pasukan senior awal tahun ini, tidak sabar untuk beraksi dalam Liga Perdana.

“Saya amat gembira untuk berada di sini. Saya fikir Southampton kelab yang amat besar, jadi ia satu langkah bagus buat saya untuk hadir ke sini dan bermain dalam Liga Perdana serta cuba membantu sebaik mungkin,” kata Hoedt.

Hoedt pembelian ketiga Southampton sejak hujung musim lalu selepas ketibaan pemain tengah Mario Lemina dan pertahanan Jan Bednarek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 10:17 AM